jata kbs Agensi rasmi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

Lawatan Ketua-Ketua Pengurusan Stadium Ke KL Sports City

Kuala Lumpur, 22 Mac 2018 – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dengan semua Ketua Pengurusan Stadium di Malaysia. Justeru itu,satu sesi lawatan dan taklimat yang dihadiri oleh 11 orang ketua Pengurusan Stadium telah diadakan pada 22 Mac 2018 di KL Sports City. Sesi lawatan ini diketuai sendiri oleh Encik Azman Fahmi Osman , Ketua Pegawai Eksekutif PSM. Selain lawatan sekitar KL Sports City, semua jemputan turut berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia menentang Mongolia di Bilik Suite, Stadium Nasional KL Sports City. Perkongsian ilmu dan kepakaran ini dilihat dapat memberi manfaat kepada kesemua pihak yang hadir.

Malaysia Menentang Mongolia Di Stadium Nasional, KL Sports City

Kuala Lumpur, 20 Mac 2018 – Harimau Malaya buat pertama kalinya beraksi di padang Stadium Nasional KL Sports City selepas selesai naik taraf Fasa 1 berakhir pada Julai 2017. Perlawanan pada kali ini menyaksikan pertembungan di antara pasukan Harimau Malaya dengan Mongolia yang berakhir dengan keputusan seri dua sama (2 - 2). Stadium Nasional dimeriahkan dengan sorakan semangat daripada Ultras Malaya serta para penyokong bola sepak Malaysia yang membanjiri Stadium Nasional selepas separuh masa pertama.

PROGRAM RENANG BABY & ME MERIAHKAN PUSAT AKUATIK NASIONAL KL SPORTS CITY

Kuala Lumpur, 11 Mac 2018 – Pusat Akuatik Geelong Australia menganjurkan satu program pengenalan aktiviti renang yang diberi nama Baby & Me di Pusat Akuatik Nasional KL Sports City.

Program telah melibatkan kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 4 tahun ke bawah yang di awasi oleh ibu-bapa di dalam kolam renang tersebut sewaktu acara dijalankan dan dibantu oleh jurulatih yang berpengalaman dari Australia. Pelatih-pelatih ini mempunyai kepakaran dalam melatih kanak-kanak yang masih kecil. Selain itu, kolam renang tersebut amat bersesuaian untuk kanak-kanak yang masih kecil dengan kemudahan moving floor di mana kedalaman kolam tersebut dapat diselaraskan mengikut keperluan program.

TAYANGAN PERDANA FILEM LEE CHONG WEI: MENJULANG KEJUARAAN DI STADIUM NASIONAL

Kuala Lumpur , 09 Mac 2018 – Stadium Nasional di banjiri oleh seramai 20,000 orang penonton bagi menyaksikan tayangan perdana filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaran. Tayangan yang menggunakan skrin berukuran 40m x 17 merupakan yang julung kali diadakan di Stadium Nasional dan turut mencipta sejarah apabila turut dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records dan Asia Of Records.

Tayangan perdana ini menyaksikan perjalanan hidup seorang wira Negara dalam Sukan Badminton Malaysia. Datuk Lee Chong Wei bersama isteri dan dua anak beliau turut membuat kemunculan pada acara permaidani merah sebelum tayangan filem bermula.

Filem Lee Chong Wei ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Negara mulai 15 Mac 2018.

 

PSM Jalin Kerjasama Strategik Universiti Putra Malaysia(UPM)

Kuala Lumpur, 08 Mac 2018 – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) memetrai memorandum persefahaman melalui satu majlis yang diadakan di Stadium Nasional, Kl Sports City.

Memorandum untuk tempoh selama 5 tahun ini bertujuan untuk menggunakan bidang pengurusan dan penganjuran sukan di KL Sports City. Kerjasama ini juga bakal memberi manfaat dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, perniagaan, kepakaran yang merangkumi aspek pertanian reka bentuk, perhutanan dan hortikultur.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor UPM iaitu Yang Berbahagia Profesor Datin Sri Paduka Dr. Aini Ideris di iringi pegawai-pegawai dari UPM. Ketibaan tersebut telah di sambut mesra oleh Encik Azman Fahmi Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PSM.