Pusat Skuasy Nasional merupakan gelanggang acara skuasy semasa Sukan Komanwel XVI- Kuala Lumpur ’98.
Gelanggang utama mempunyai kapasiti tempat duduk tetap untuk 1,000 penonton dan gelanggang tengah mempunyai dinding yang diperbuat daripada kaca bersalut perisai bertetulang (tebal 12mm) yang boleh dialihkan dengan mudah untuk acara perseorangan atau beregu.
Terdapat 10 gelanggang Latihan perseorangan yang boleh diubahsuai menjadi lapan gelanggang untuk bergu dengan kapasiti untuk 70 penonton setiap gelanggang. Aras atas menempatkan ruang istirahat pemain dan bilik persalinan. Pejabat pengurusan, bilik kawalan doping dan bilik perubatan terletak di aras bawah.
Kemudahan lain yang tersedia adalah termasuk bilik persidangan dan pusat media. Papan mata yang lebih kecil diletakkan di setiap sepuluh gelanggang sisi.
Pada tahun 2009, gelanggang utama skuasy dinamakan "Arena Nicol David". Penganugerahan nama itu sebagai mengiktiraf sumbangan Nicol dalam memartabatkan nama negara di persada antarabangsa dalam sukan skuasy.