Final Piala FA Cup 2019 di Stadium Nasional
27 Julai, Kuala Lumpur – Kedah menjuarai Piala FA 2019 buat kali kelima selepas mengalahkan Perak 1-0 pada masa tambahan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekaligus meranapkan impian Perak menamatkan kemarau 15 tahun untuk bergelar juara dan merangkul piala berprestij tersebut.
Kali terakhir pasukan Perak yang lebih dikenali sebagai ‘The Bos Gaurus’ merangkul kejuaraan tersebut pada tahun 2004. Kemenangan itu disaksikan oleh hampir 83,520 penyokong bolasepak yang hadir di stadium berprestij ini bagi memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Perlawanan akhir Piala FA itu juga diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang mencemar duli dengan turun ke padang bersalaman dengan barisan pemain kedua-dua pasukan sebelum bermulanya perlawanan. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.