warga_psm
orang_awam

Module Toolbar

BUKIT JALIL, 18 DISEMBER 2013 – PSM muncul sebagai Juara dalam Pertandingan Pengemaskinian Maklumat / Kandungan Portal Jabatan / Agensi dibawah KBS untuk tahun 2013. Pertandingan ini dinilai mulai April sehingga Oktober 2013 oleh enam orang Panel Penilaian Pertandingan Pengemaskinian termasuk seorang wakil daripada pihak MAMPU.

Kesemua portal yang dipertandingkan dinilai menerusi aspek maklumat terkini, aktiviti bergambar, perutusan pengarah, aktiviti semasa, maklumat korporat agensi, carta organisasi, direktori staf, hubungi kami, soalan lazim, maklum balas, kemudahan, muat turun dan galeri serta tempoh masa paparan pengemaskinian portal.

Sebagai Juara, PSM telah menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM1000 (mock cek) beserta sijil yang disampaikan oleh YB. Menteri Belia dan Sukan, Encik Khairy Jamaluddin. Kejayaan ini menjadi satu kebanggaan dan juga dorongan kepada PSM untuk terus mengekalkan kemenangan yang julung kalinya diperolehi.

Disunting Oleh: Cawangan Komunikasi Korporat

Bukit Jalil, 16 Disember 2013 - Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah melaksanakan Misi Bantuan Mangsa Banjir di Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Seramai 10 orang kakitangan yang diketuai oleh Encik Mohd Sufian Merzuki telah bertolak ke Kemaman, Terengganu pada 16 Disember 2013 bersama-sama dengan 3 buah lori yang membawa bekalan pakaian, barang keperluan harian, makanan dan air minuman. Pengagihan bantuan telah dibuat di Kompleks Rakan Muda Kemaman, Kampung Batu 14, Chukai dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang.

Misi ini adalah atas dasar keprihatinan PSM terhadap mangsa-mangsa banjir dan membantu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di lokasi berkenaan.

 

Disunting Oleh: Cawangan Komunikasi Korporat

Dewan Sri Putra,Bukit Jalil 13 Disember - Malaysian Toon Festival 2013 yang menghimpunkan sebilangan besar pengamal industri kandungan kreatif tempatan mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri animasi negara.

Pengerusi Yayasan Usahawan Baru Ashran Datuk Ghazi berkata festival yang julung kali dianjurkan itu dapat memperkenal dan mempromosikan pelbagai produk animasi tempatan di samping dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara pengamal industri yang terlibat.

"Apabila kita katakan mengetengahkan produk animasi ini, ia bukan setakat tunjuk kepada semua orang. Kita juga hendak pastikan syarikat-syarikat animasi tempatan lebih mampan di mana ia bukan setakat dijual dan disalurkan kepada stesen tv tempatan, malah ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival itu di Bukit Jalil di sini hari ini.

Festival yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu merupakan anjuran yayasan berkenaan, myNEF bersama Nuovo Entertainment Frontier Sdn Bhd dan Brain Evolution Transform Sdn Bhd.

Sebanyak 30 syarikat animasi tempatan menyertai festival itu.

Dalam pada itu, Ashran berkata daripada segi penghasilan produk animasi yang berkualiti untuk ke pasaran luar negara memang banyak, namun pengamal industri itu menghadapi kekangan untuk mengkomersialkan produk mereka.

Selain itu, beliau juga bersetuju bahawa pasaran bagi produk animasi tempatan terhad kerana wujud persaingan antara syarikat kandungan kreatif sedia ada dalam merebut siaran saluran televisyen di negara ini.

"Jadi dengan adanya festival ini syarikat-syarikat animasi tempatan dapat bekerjasama dengan syarikat korporat yang mungkin berminat untuk bekerjasama dalam proses penjenamaan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Ashran berkata penganjuran festival itu berkemungkinan akan dijadikan sebagai acara tahunan yang mana sesi jelajah ke setiap wilayah di

seluruh negara akan dilaksanakan tahun hadapan dengan kerjasama QSR Brands.

Katanya ia dapat membawa produk animasi tempatan seterusnya membantu produk cenderamata milik syarikat animasi yang terlibat.

SUMBER : BERNAMA

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Yayasan Al-Abrar dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan satu program kerohanian 'Malaysia Berselawat' bertempat di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaafar berkata, dengan menampilkan tokoh ulama terkemuka Yemen, al-Habib Umar Hafidz, majlis itu dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat Islam Malaysia khususnya mengenai kehebatan rangkaian selawat, zikir dan burdah mengagungkan Rasulullah SAW.

"Antara aktiviti pada malam tersebut melibatkan solat maghrib berjemaah serta sesi tazkirah daripada ulama-ulama tempatan dan luar negara seperti Habib Thohir Al Haddar (Yemen), Habib Jindan Novel (Indonesia) serta Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Don Daniyal Don Bijayid, masing-masing dari negara ini.

"Pada malam itu, sesi Tausiyah Perdana juga disampaikan oleh al-Habib Umar yang merupakan salah seorang pendakwah tersohor di dunia," ujar Zainal Abidin dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha UMNO Cheras, Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah.

Sehubungan itu, Zainal Abidin menjemput orang ramai untuk hadir ke Stadium Hoki Bukit Jalil bagi mengisi masa lapang dengan acara kerohanian itu yang bermula pada pukul 5 petang sehingga 11 malam.

Selain itu, kemudahan Sistem Aliran Ringan (LRT) beroperasi sehingga 2 pagi dan beliau berharap peluang majlis ilmu berkenaan wajar direbut oleh orang ramai pada hari tersebut.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web, www.malaysiaberselawat.com atau hubungi penganjur, Yayasan al-Abrar menerusi talian 0642652925 untuk maklumat lanjut.

 

SUMBER : UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kira-kira 15,000 orang menghadiri program kerohanian 'Malaysia Berselawat' anjuran Yayasan Al-Abrar yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Al- Abrar, Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah (gambar) berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya bagi memberi pendedahan kepada masyarakat Islam di Malaysia tentang kehebatan berselawat, zikir serta wirid yang mengagungkan Rasullah SAW.

Jelasnya, dengan penganjuran program seperti itu juga dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping berhibur mengikut syariat Islam.

"Alhamdulillah, hari ini kita dapat menganjurkan program Malaysia Berselawat dengan jayanya. Saya merasa bangga kerana rata-rata pengunjung adalah kalangan belia.

"Program ini mampu memberi ilmu kepada golongan ini. Di samping berselawat, program ini diisi dengan tazkirah oleh pendakwah tersohor dari dalam dan luar negara," katanya dalam program Malaysia Berselawat, di sini hari ini.

Tambah beliau, Yayasan Al-Abrar akan meneruskan lagi program seumpamanya memandangkan sokongan masyarakat amat memberangsangkan.

"Program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberikan sokongan terhadap program keagamaan seperti ini," jelasnya.

Tokoh ulama dari Yemen, Habib Thohir Al-Haddar mengimamkan solat maghrib dan solat hajat berikutan berlakunya banjir besar di beberapa negeri di Semenanjung.

Tokoh ulama tempatan seperti Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Ustaz Don Daniyal serta tokoh ulama Indonesia, Habib Jindan Novel turut memberikan tazkirah kepada pengunjung yang hadir.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui memberikan reaksi positif terhadap program kerohanian tersebut.

Bagi Mohamad Dzulrusydi Mohd. Said, 19, program seperti ini sangat bagus bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keindahan Islam.

"Islam merupakan agama yang sangat indah. Dalam Islam juga ada cara sebenar untuk berhibur. Berselawat dan berzikir merupakan antara hiburan dalam Islam. Dengan melakukan perkara seperti itu juga kita boleh berhibur," ujarnya.

SUMBER : Utusan Online

Kuala Lumpur - 21 November – Satu sesi audit bagi amalan 5S telah dilakukan oleh pihak Perbadanan Stadium Malaysia di Stadium Nasional, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil. Audit ini bagaimanapun merupakan audit dalaman sebelum menghadapi pengauditan dari pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi pensijilan kali kedua pada 28 November 2013 akan datang.

Pengauditan ini diadakan bertujuan untuk melihat sejauh mana keberkesanan amalan 5S yang diamalkan oleh kakitangan sejak amalan ini dilaksanakan bermula pada akhir Jun 2012 yang lalu. Pengauditan kali ini menyaksikan Zon Delima mendahului dengan markah yang tertinggi dari tiga zon yang sediaada.

Melalui penganjuran program yang seumpama ini, ianya dapat mengeratkan kerjasama di antara kakitangan dan pihak pengurusan selain memupuk sistem kerja yang berkualiti dan berkesan kepada pelanggan serta meningkatkan produktiviti pihak perbadanan itu sendiri.

 

Go to top