warga_psm
orang_awam

Module Toolbar

Beberapa siri Karnival Hari Belia Negara (HBN) 2012 akan diadakan secara berperingkat bermula akhir tahun ini, menjelang sambutan HBN 2012 yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Datuk Zaidon Asmuni berkata peringkat pertama karnival itu akan diadakan sempena sambutan Tahun Baru 2012 dari 30 Dis hingga 1 Jan ini di Laman 1Malaysia, Presint 2 di sini.

Beberapa aktiviti diatur seperti sukan permotoran, ‘gadget world’ dan teknologi informasi (IT), Pameran Inisiatif Belia, persembahan kesenian dan konsert oleh artis remaja.

“Radio KLfm akan mengadakan kiraan detik dan konsert Ambang Tahun Baru 2012. Di samping itu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga akan mengadakan beberapa ekspo dan gerai jualan serta Fun Park sempena HBN 2012,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Zaidon berkata karnival kedua akan diadakan minggu ketiga Januari depan bersempena pelancaran Bilik Sekretariat HBN 2012 dan kalendar acara sambutan HBN 2012 di menara kementerian, manakala peringkat ketiga akan diadakan dari 10 hingga 12 Feb di perkarangan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil sempena Program Karnival Belia Kreatif 2012 (KBK 2012).

Beliau berkata KBK 2012, yang diadakan dari 10 hingga 12 Feb, merupakan program anjuran kementerian, di mana terdapat 200 program berbentuk kreatif dan inovasi yang bakal dilaksanakan sepanjang tiga hari tersebut.

“Seramai 200,000 pengunjung bakal memeriahkan program tersebut. Program ini dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Feb.

“Seterusnya Karnival HBN 2012 ini akan menjelajah ke beberapa buah negeri bermula di Johor, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang,” katanya.

– BERNAMA

Pengumuman / Hebahan

Go to top