warga_psm
orang_awam

Module Toolbar

slF.A.Q | cusContact Us | maklumbalasComplaint/Feedback | petalamanSitemap

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Gimnas negara, Olivia Tai Qing Tong meraih pingat gangsa dalam acara individu keseluruhan pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Olivia Tai, 15, memberikan persembahan konsisten dalam empat disiplin iaitu gelung, bola, belantan dan riben dengan pungutan 55.650 mata pada final.

Yelizaveta Mainovskaya dari Kazakhstan nyata sukar ditandingi apabila berjaya menarik perhatian juri dalam persembahan empat disiplin itu untuk memenangi emas dengan catatan 56.250 mata.

Gimnas dari Uzbekistan, Anora Davlyatova meraih pingat perak dengan catatan 55.850 mata.

"Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian hari ini, saya membuat persiapan ini selama enam bulan, memang sasaran saya mahu layak ke Sukan Olimpik Remaja," katanya.

Olivia turut meraih tiga slot final individu apparatus iaitu melibatkan peralatan gelung, belantan dan riben yang akan berlangsung esok.

Dia juga berpeluang cerah untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China pada Ogos depan selepas menduduki tempat ketiga pada pusingan kelayakan individu yang berakhir semalam.

Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) akan memilih empat gimnas terbaik Asia untuk beraksi Sukan Olimpik Remaja itu, bagaimanapun keputusan rasmi belum diputuskan.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan kedudukan ketiga terbaik selepas berakhir pusingan kelayakan semalam," kata Olivia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Go to top