warga_psm
orang_awam

Module Toolbar

slF.A.Q | cusContact Us | maklumbalasComplaint/Feedback | petalamanSitemap

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kira-kira 15,000 orang menghadiri program kerohanian 'Malaysia Berselawat' anjuran Yayasan Al-Abrar yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Al- Abrar, Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah (gambar) berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya bagi memberi pendedahan kepada masyarakat Islam di Malaysia tentang kehebatan berselawat, zikir serta wirid yang mengagungkan Rasullah SAW.

Jelasnya, dengan penganjuran program seperti itu juga dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping berhibur mengikut syariat Islam.

"Alhamdulillah, hari ini kita dapat menganjurkan program Malaysia Berselawat dengan jayanya. Saya merasa bangga kerana rata-rata pengunjung adalah kalangan belia.

"Program ini mampu memberi ilmu kepada golongan ini. Di samping berselawat, program ini diisi dengan tazkirah oleh pendakwah tersohor dari dalam dan luar negara," katanya dalam program Malaysia Berselawat, di sini hari ini.

Tambah beliau, Yayasan Al-Abrar akan meneruskan lagi program seumpamanya memandangkan sokongan masyarakat amat memberangsangkan.

"Program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberikan sokongan terhadap program keagamaan seperti ini," jelasnya.

Tokoh ulama dari Yemen, Habib Thohir Al-Haddar mengimamkan solat maghrib dan solat hajat berikutan berlakunya banjir besar di beberapa negeri di Semenanjung.

Tokoh ulama tempatan seperti Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Ustaz Don Daniyal serta tokoh ulama Indonesia, Habib Jindan Novel turut memberikan tazkirah kepada pengunjung yang hadir.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui memberikan reaksi positif terhadap program kerohanian tersebut.

Bagi Mohamad Dzulrusydi Mohd. Said, 19, program seperti ini sangat bagus bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keindahan Islam.

"Islam merupakan agama yang sangat indah. Dalam Islam juga ada cara sebenar untuk berhibur. Berselawat dan berzikir merupakan antara hiburan dalam Islam. Dengan melakukan perkara seperti itu juga kita boleh berhibur," ujarnya.

SUMBER : Utusan Online

Go to top